KUCHING: Pembinaan Jambatan Batang Lupar 2 dan tebingan sungai bakal mengubah wajah Simanggang serta memacu ekonomi bandar itu apabila ia siap kelak.
Menurut Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg, pembangunan dua prasarana itu sebahagian daripada usaha kerajaan negeri memperhebatkan pembangunan infrastruktur di kawasan pesisir.
“Dan daripada jambatan tersebut hingga ke Sri Aman, kita bina benteng sepanjang dua kilometer (km) menjadikan ia sebagai tebingan sungai terpanjang di Sarawak.
“Ia mengambil masa tiga tahun untuk disiapkan, jadi dengan itu kita bangunkan kawasan ekonomi baharu di situ,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Majlis Ramah Tamah Aidilfitri Anak Perantau Simanggang dan Lembaga Amanah Masjid Sri Aman di sini hari ini.
Justeru beliau yakin, ekonomi Simanggang termasuk sektor pelancongan akan melonjak apabila kedua-dua prasarana itu siap kelak memandangkan Simanggang amat terkenal dengan Pesta Benak.
Hadir sama Timbalan Setiausaha Kerajaan Sarawak Dato Sri Dr. Muhammad Abdullah Zaidel, Setiausaha Keewangan Negeri Sarawak Dato Sri Dr. Wan Lizozman Wan Omar, Ahli Parlimen Batang Lupar Mohamad Shafizan Kepli, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lingga Dayang Norazah Awang Sohor, Pengerusi Anak Perantau Simanggang Datu Kameri Affandi, Pengarah Unit Komunikasi Awam Sarawak Awang Putrayusrie Awang Redzuan.